#mySalam : Selesaikan Masalah B40 dulu!


Tanpa sebarang peruntukan tambahan, Skim Perlindungan Kesihatan Masyarakat (mySalam) yang bertujuan untuk membantu golongan B40 mendapatkan perlindungan insurans kesihatan kini diperluaskan pula kepada golongan M40, sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Adakah masuk akal apabila bilangan rakyat Malaysia yang akan mendapat perlindungan insurans meningkat dari 40% kepada 80% tanpa sebarang peruntukan tambahan?

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/02/654693/m40-boleh-mohon-mysalam-sebelum-31-mac

Saya amat mengalu-alukan apa saja keputusan untuk membantu mana-mana kategori rakyat, tetapi buatlah dengan betul dan ikhlas.

Pengumuman Lim Guan Eng menggambarkan kegagalan skim mySalam untuk memberi perlindungan insurans yang mencukupi kepada golongan B40. Kalau hanya 3.5% dari keseluruhan peruntukan mySalam berjumlah RM400 juta untuk golongan B40 dapat digunakan, ini menggambarkan kejituan golongan cerdik pandai dalam Kementerian Kewangan dalam menghitung pampasan perlindungan ansuran jauh tersasar dan ramai golongan B40 dinafikan hak mereka disebabkan masalah teknikal serta karenah birokrasi.

Kalau golongan B40 tak dapat dijaga dengan baik, apa guna nak diperluaskan kepada M40? Tidakkah nanti akan bertambah masalahnya?

Di sini timbul beberapa persoalan.

1. Purata pendapatan bagi mereka dalam kategori M40 ialah sekitar RM6275 manakala skim mySalam memberikan perlindungan "critical illness" yang bermakna sebanyak RM4000 (kurang daripada pendapatan sebulan)? Bagaimanakah ini perlindungan yang bermakna? Perlindungan yang bermakna sepatutnya sekitar 3 kali pendapatan setahun.

Kini, skim mySalam dilihat menjurus kepada 'skim amal' yang tidak bersasar, bukannya perlindungan insurans sepertimana yang sepatutnya. Lebih baik kerajaan memperbaiki prosedur permohonan, tambahan pula ketika ini orang ramai masih sukar membuat tuntutan berikutan karenah birokasi.

Lihatlah, semua orang baik Melayu, Cina, India terpaksa berdepan kesukaran dalam membuat tuntutan mySalam.

https://www.facebook.com/wksbmenglish/videos/709089902893565/

Begitu juga dengan caj bayaran bagi mendapatkan laporan perubatan untuk membuat tuntutan mySalam. Kerajaan PH kata ia dikecualikan, tapi sebaliknya berlaku.

Bila saya tunjukkan bukti, terus PH diam sampai sekarang. Sampaikan pihak Lembaga Pemegang Amanah mySalam dan Pejabat Belanjawan Negara tergamam tak boleh jawab apa-apa. Ini membuktikan bahawa PH memperdaya orang ramai!

https://www.facebook.com/wksbmenglish/posts/1414184842082349

2. Menteri Kewangan Lim Guan Eng kata sebanyak RM14 juta telah digunakan untuk mySalam pada tahun 2019.

https://codeblue.galencentre.org/2020/02/11/mysalam-paid-rm14mil-in-2019-3pc-of-funds-received/

Sebanyak RM11.6 juta diperuntukkan untuk membiayai rawatan penyakit kritikal membabitkan seramai 1448 orang. RM8000 (Pembayaran tunai yang dibayar sekali apabila didiagnos salah satu daripada 45 penyakit kritikal) hanyalah 2.6 kali pendapatan bulanan golongan B40. Sepatutnya kerajaan melipat-gandakan usaha untuk memahami dan menangani permasalahan sebenar yang dihadapi oleh golongan B40. Bukankah lebih berpatutan jika bayaran RM8000 itu digandakan? Sebagai contoh, bayaran RM8,000 dinaikkan kepada julat RM 24,000 ke RM 30,000. Ini akan meningkatkan kos (mungkin melebihi RM50 juta) tetapi manfaat yang dikembalikan lebih nyata. Tidak sepertimana keadaan yang sedia ada di mana nisbah tuntutan berada pada paras 3.5% pulangan yang mengecewakan untuk bayaran premium RM400 juta).

Bagi mereka yang menghidap penyakit kritikal, kos perubatan seperti satu kitaran lengkap bagi rawatan “chemotherapy” jauh lebih besar dari RM8,000 dan menjangkau puluhan ribu ringgit yang pasti membebankan keluarga B40. Inilah justifikasi untuk peningkatan bayaran demi menampung kos perubatan bagi pesakit dari golongan B40.

Bila mySalam mempunyai kemampuan kewangan, maka bayaran boleh ditingkatkan dari masa ke semasa. Ini baru betul untuk membantu rakyat secara menyeluruh!

3. Nilai RM14 juta jauh lebih kecil berbanding jumlah sasaran tuntutan iaitu sebanyak RM400 juta. Manakala lebihan daripada RM400 juta tersebut iaitu RM386 juta akan disumbang semula ke Dana Perlindungan Nasional B40. Buat apa nak masukkan balik sedangkan masih ramai yang merungut sukar membuat tuntutan? Bayangkan ruang masih luas untuk membantu lebih ramai pesakit dari kalangan B40 yang mengadu begitu sukar mendapat bayaran MySalam dan begitu juga “quantum” bayaran turut boleh ditingkatkan berlipat-ganda sekiranya RM400 juta adalah benar-benar peruntukan perubatan bagi membantu rakyat yang susah. Adakah Lim Guan Eng sekadar mahu main wayang dengan menghebahkan sesuatu perkara seperti MySalam diperluaskan kepada golongan M40 yang hanyalah 'indah khabar dari rupa' sedangkan ramai pesakit B40 yang mengadu kepayahan memperolehi Bantuan MySalam?

4. Isu kesukaran membuat tuntutan ini bukanlah perkara baru. Saya telahpun membangkitkan perkara ini pada 19 November 2019 dalam Kamar Khas di Parlimen. Saya bertanyakan tentang dana RM2 bilion untuk skim mySalam yang masih belum dibayar, apakah sebab ianya belum dibayar dan kenapakah pihak Kementerian Kewangan sudah memberi Great Eastern Holdings pengecualian daripada 'divestment condition'? Malangnya, soalan penting ini tidak dijawab sehingga hari ini. Pelik bagaimana syarikat dari Singapura boleh dapat pengecualian daripada 'divestment condition'?

https://www.facebook.com/wksbmenglish/posts/1426502707517229

5. Bagaimana pula dengan dasar Bank Negara Malaysia berhubung proses tambahan bagi sebarang pengeluaran untuk memastikan prinsip layanan adil pemegang polisi kekal terpelihara?
Adakah "estate fund" ataupun surplus yang diambil keluar dari dana "participating funds" diagihkan mengikut nisbah 90:10 iaitu 90/10 "profit sharing rule" sebagaimana yang sepatutnya?

Sudahkah Kementerian Kewangan mendapat keputusan penilaian bebas? Apakah cadangan yang dibentangkan? Apakah terma dan syarat yang dikenakan untuk pengeluaran daripada "participating funds"?

Sedangkan pada 19 November 2019 di Parlimen, Kementerian Kewangan kata ia akan dimuktamadkan sebelum akhir tahun 2019?

(rujuk lampiran di https://www.facebook.com/wksbmenglish/posts/1426502707517229 )

Kesimpulannya, kerajaan sepatutnya serius dalam perkara ini, janganlah hanya bermain wayang semata-mata. Selesaikan dahulu permasalahan yang sedang dihadapi golongan B40 seperti kesukaran membuat atau mendapatkan tuntutan, urusan yang merumitkan keadaan seperti terpaksa mengisi borang serta menyediakan dokumen dan sebagainya.

Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan seharusnya menjalin kerjasama berhubung perkara ini. Setiap maklumat pesakit yang layak mendapat perlindungan skim mySalam teruslah dimasukkan dalam sistem sama secara automatik, apa yang susahnya?

#SelesaikanMasalahB40dulu
#KerjaDenganIkhlasBukanMainWayang

Sumber

Comments