Mansuh aliran sains dan sastera Tingkatan 4. Wee Ka Siong tibai Menteri PH!


Pada 18 November 2019, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching mengesahkan bahawa Kementerian Pendidikan telah mengedarkan surat kepada sekolah menengah seluruh negara mengenai pemansuhan aliran Sastera dan Sains bagi pelajar Tingkatan Empat.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/11/629770/surat-mansuh-aliran-sains-sastera-diedar-ke-sekolah

Saya pernah membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat, sama ada betulkah tiada lagi aliran Sains dan Sastera bagi pelajar Tingkatan Empat?

Ini bukan isu main-main. Soal pendidikan untuk anak-anak perlu dibuat secara teliti dan betul. Mereka bukannya bahan eksperimen.

Permasalahan yang timbul ketika ini ialah berkaitan kekurangan guru, kemudahan di sekolah yang tidak dapat menampung keperluan, pilihan matapelajaran yang amat terhad dan ramai pelajar serta ibu bapa yang keliru dengan dasar baru kerajaan PH hari ini.

Pemansuhan aliran sains dan sastera serta digantikan pula dengan aliran STEM dan aliran sastera & kemanusiaan dilihat hanya 'indah khabar dari rupa'. Ianya cuma pelabelan baru atau penjenamaan semula yang lebih merumitkan pemilihan kombinasi matapelajaran yang dianggap terlalu “rigid” sehinggakan ada pelajar terpaksa mengikuti kelas tuisyen di luar kerana kekangan kemudahan serta kekurangan guru yang menyebabkan sesetengah matapelajaran tidak dapat ditawarkan.

Mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pernah mengumumkan STEM diubah menjadi STEAM dengan memasukkan elemen sastera “A”. Saya beritahu Dr Maszlee bahawa STEM adalah terminologi yang digunakan di peringkat antarabangsa, janganlah tambah huruf “A” sewenang-wenangnya. Itu namanya “potong STEAM”!

Pendirian saya boleh dirumuskan seperti berikut:-

1. Aliran sains dan sastera tidak dimansuhkan kerana semata-mata penjenamaan semula. Kekalkan sistem aliran sains dan sastera yang sudah lama wujud, perkukuhkan laluan TVET berserta dengan teknologi baru mengikut peredaran zaman. Pastikan kemudahan Pengajaran & Pembelajaran (P&P) serta bekalan guru mencukupi sebelum dibuat penambahbaikan dasar atau memperkenalkan sistem baru untuk pelajar setelah dibuat sesi libaturus dengan semua pihak yang berkepentingan.

2. Setuju perkukuhkan Pendidikan STEM, bukan STEAM, mengikut tren dan definasi antarabangsa. Hentikan serta-merta tren penurunan pelajar yang mengambil subjek STEM. Kemukakan pelan tindakan yang holistik.

Mudah-mudahan dengan adanya pemangku Menteri Pendidikan iaitu Perdana Menteri Tun Mahathir, maka pemansuhan ini dapat dilihat semula. Nanti kalau dah mansuh, susah nak patah balik!

Sumber

Comments