Muafakat Nasional : Ini kenyataan rasmi Presiden MCA Wee Ka Siong


Kenyataan Media Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong, Presiden MCA Merangkap Ahli Parlimen Ayer Hitam

【1】

Memelihara Perlembagaan Persekutuan serta mempertahankan nilai-nilai kepelbagaian dan kesederhanaan; inilah asas perjuangan parti MCA sejak zaman menuntut kemerdekaan negara sehingga hari ini, baik ketika bergelar kerajaan mahupun pembangkang.

Samada kekal bersama Barisan Nasional atau dalam perkara mengenai kerjasama UMNO-PAS, MCA tetap menjadikan asas di atas sebagai panduan.

Saya telah menyatakan pendirian MCA sebelum ini, ketika bertanding pada Oktober dan mula menjadi Presiden parti pada November tahun lalu bahawa Barisan Nasional mestilah membentuk satu gabungan politik yang mewakili semua kaum. MCA melakukan yang terbaik untuk memastikan Barisan Nasional terus mempraktikkan prinsip kepelbagaian dan kesederhanaan supaya ia tidak menjadi sebuah gabungan yang hanya memperjuangkan kepentingan sesetengah agama atau kaum.

【2】

Oleh yang demikian, kerjasama antara UMNO dan PAS mestilah menjangkaui semua lapisan masyarakat Malaysia dan berpegang teguh kepada prinsip yang terkandung di dalam piagam yang ditandatangani pada 14 September, yang antara lain ada menyentuh dua perkara :

- Menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk terpelihara.

- Mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Kerjasama antara UMNO dan PAS juga tidak seharusnya menimbulkan ancaman kepada sistem sekular dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang sedia wujud hari ini. Sekiranya kerjasama yang hanya memperjuangkan satu-satu agama dan kaum serta mengganggu-gugat kestabilan negara sebagaimana yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, maka MCA tidak akan berkompromi dan sedia mengambil tindakan sewajarnya.

【3】

Mengikut rekod daftar pemilih 2018, terdapat 69 kawasan pilihan raya dengan lebih 40% pengundi Cina dan India. Termasuk 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah, ia menjadikan jumlah kesemuanya 125 kerusi. Demografi pengundi ini menunjukkan keadaan negara yang mempunyai masyarakat majmuk dan berbilang agama.

Justeru itu, negara akan terus aman harmoni apabila semangat kepelbagaian dan kesederhanaan dapat dipertahankan. Parti politik yang hanya memperjuangkan satu-satu kepentingan bukan sahaja menafikan kepelbagaian tetapi juga mustahil untuk mentadbir negara yang akhirnya akan ditolak sendiri oleh rakyat.

Dari FB Wee Ka Siong

Comments