Terdapat 2.7 juta orang murid sekolah rendah di seluruh negara. Berdasarkan perkiraan RM3 sehari untuk 200 hari bersekolah dalam setahun, maka kos penyediaan makanan berkhasiat untuk semua pelajar adalah sebanyak RM1.6 bilion.
1. Adakah kerajaan berhajat untuk membekalkan makanan berkhasiat secara percuma kepada semua pelajar sekolah rendah termasuk mereka yang berasal dari keluarga berada? Bukankah lebih elok sekiranya duit yang sama dibelanjakan untuk tujuan membantu golongan petani daif serta membina lebih banyak projek perumahan rakyat atau rumah kos rendah?
2. Setiap murid mempunyai amalan atau tabiat pemakanan yang berbeza, kebanyakan daripada mereka telah siap bersarapan di rumah sebelum pergi ke sekolah. Manakala ada juga yang hanya makan buah-buahan, makanan organik dan bijirin untuk sarapan pagi. Persoalannya adakah pengumuman Menteri Pendidikan Dr Maszlee ini praktikal dan dapat memenuhi aspirasi dan citarasa kebanyakan murid?
3. Demi memastikan murid-murid tidak hilang tumpuan pembelajaran kerana tidak bersarapan pagi, sejak lebih dari 10 tahun yang lalu, Kerajaan BN telah melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan menyediakan makanan berkhasiat secara percuma untuk murid-murid dalam kalangan keluarga berpendaptan rendah dengan kos RM2.50 di Semenanjung Malaysia dan RM3.00 di Sabah dan Sarawak. Setakat tahun 2018, seramai 489,117 orang murid telah mendapat manfaat ini dan jumlah peruntukan ialah RM289 juta.
Sekiranya Kerajaan PH berhasrat untuk memperluaskan skop RMT kapada lebih ramai murid dari keluarga berpendapatan sederhana dengan jumlah peruntukan yang lebih besar yang termampu, saya tidak keberatan untuk menyokongnya. Tapi, adakah perlu bagi kerajaan memberi makanan berkhasiat kepada semua 2.7 juta murid sekolah rendah? Dalam keadaan PH telah meningkatkan hutang negara melebihi RM100 bilion sejak mereka memerintah, adakah wajar kerajaan terus berbelanja sebegini?
Comments
Post a Comment