Syukur, baru saja selesai bersama-sama dengan rakan-rakan di rumah Haji Samion Salamat, Kg. Parit Tengah Parit Raja, Ayer Hitam dalam majlis berbuka puasa.
Petang tadi, saya bersama beberapa pemimpin dan ahli MCA Ayer Hitam turut berkesempatan mengunjungi Bazar Ramadan di sini sambil mengedarkan buah kurma kepada para pengunjung serta berswafoto dengan mereka.
Ketika berbuka puasa di perkarangan rumah Hj Samion, kami sekalian dihidangkan juadah masakan Jawa yang asli, nasi ambang atau juga dikenali sebagai nasi dulang.
Pada ketika inilah saya dapat merasai semangat perpaduan masyarakat Jawa yang memuncak di Ayer Hitam. Semua kenduri termasuk kenduri kahwin dijayakan secara “rewang” (gotong royong) oleh orang-orang kampung tanpa membuat tempahan makanan dari caterer luar.
Saya juga sempat beramah mesra dengan para penduduk tempatan selepas mereka menunaikan solat fardhu Maghrib.
Tiada apa yang mampu saya katakan selain meminta mereka bersabar mengharungi waktu sukar ini. Saya juga berjanji akan terus membawa suara-suara mereka di peringkat Dewan Rakyat sekaligus menjalankan tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen untuk menyemak imbang kerajaan pemerintah.
Berikut beberapa keping gambar yang sempat dirakam tadi. Semoga kemesraan dan ikatan silaturrahim yang erat ini akan terus berkekalan sampai bila-bila.
Dari FB Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
Comments
Post a Comment