TOL : PEMIMPIN KERAJAAN PH GIGIHTEGAKKAN BENANG BASAH


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzim hari ini tampil dengan usaha menegakkan benang yang basah berhubung isu tol.

Ya, saya tahu YB memiliki ilmu di dalam bidang kejuruteraan pengangkutan (transport engineering) ini kerana memperolehi Master dalam bidang tersebut. YB Sim sebagai junior saya di Fakulti Kejuruteraan Awam UTM perlu kenal seniornya secara mendalam sebelum membidas. Secara kebetulan, saya juga memiliki Master of Engineering (Traffic Engineering) dari Centre for Transportation Studies NTU Singapura, jauh lebih awal daripada YB Sim. Maka tidak adil bagi junior saya YB Sim mengatakan kononnya saya setakat kelulusan Sarjana Muda kejuruteran awam sahaja. Bukan sekadar kami sama-sama mempunyai Master of Engineering (Traffic), malahan tesis PHD saya juga dalam bidang “transport planning”. Faham tak YB Sim?

Dengan latar belakang dalam bidang kejuruteraan & perancangan pengangkutan ini, saya memang arif tentang teori “congestion cost”, menerbitkan model matematik bagi menghitung “congestion cost”, polisi pemilikan kenderaan, struktur cukai jalan, fi lesen memandu, yuran parkir, pendapatan per kapita memang berlainan dengan Singapura dan Hong Kong....... banyak lagi faktor atau angkubah yang perlu diselidiki!

Namun saya tidak berniat untuk memperlekehkan ilmu YB. Tahniah juga kepada YB yang berjaya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana (Master). Tetapi YB usahlah perlekehkan orang lain. Dalam isu ini, ia bukan lagi soal siapa lebih pandai atau untuk mengesahkan siapa di antara kita yang memiliki ijazah palsu mahupun menuntut di universiti yang tidak diiktiraf. Antara saya dan YB dalam isu ini tidak sama dengan pemimpin PH lain seperti Marzuki Yahya, Paul Yong Choo Kion, Osman Sapian, Mat Sabu dan Zuraida .

Perkara pokoknya ialah ;

Pertama, kenapa yang dijanjikan dalam Manifesto PH semasa PRU14 iaitu menghapuskan tol lebuhraya tidak ditunaikan? Sebaliknya pelbagai helah diberi kononnya PH mahu memperkenalkan formula gantian kepada pemansuhan tol iaitu cadangan caj kesesakan. Kan rakyat dikencingkan oleh PH? Kalau tak dapat tunaikan janji, jangan sesuka hati menabur janji?

Kedua, kenapa keputusan ini dibuat secara tergesa-gesa dalam 'mood' PRK Semenyih? Sedangkan ini adalah perkara penting yang perlu dilihat secara menyeluruh. Di mana dapatan kajian komprehensif pihak JKR atau LLM mengenai cadangan caj kesesakan ini? Adakah kerajaan PH membuat konsultasi orang ramai? YB ada menyebut beberapa buah negara luar yang patut dicontohi seperti Singapura tetapi tahukah YB bahawa mereka melakukan penelitian yang begitu serius dan mendalam sebelum membuat keputusan? Saya sudah katakan sebelum ini, Singapura membuat kajian rapi dengan menetapkan daerah perdagangan sentral (CBD) dan Restricted Zone (RZ) & Electronic Road Pricing (ERP). Apa yang kerajaan PH lakukan sebelum membuat keputusan? Sila perincikan!

Ketiga, adakah kerajaan PH pernah berbincang dengan pihak Dewan Bahasa Dan Pustaka berhubung penggunaan istilah 'pemansuhan'? Ini kerana, istilah berkenaan digunakan oleh Pejabat Perdana Menteri bagi merujuk menggantikan 'tol' kepada 'caj kesesakan'. Nampak remeh tapi ini penting kepada semua khususnya pelajar-pelajar kita. Apa yang kita faham selama ini pemansuhan bermaksud 'dibuang' atau 'dihapuskan'. Bagaimana caj kesesakan yang perlu dibayar sama seperti tol boleh digelar 'pemansuhan tol'? Kalau begitu, saya mengesyorkan agar istilah “pemansuhan” dibuang dari Kamus Dewan, “abolishment” digugurkan dari Oxford Dictionary, kakaka!

Seorang lagi Ahli Parlimen DAP Wong Kah Woh, macam kera kena belacan. Dia tuduh saya “membantah kerana semata-mata membantah”. Jahil betul YB Ipoh Timur ini, kalau tak reti nak jawab, diam-diam sajalah! Jawab kenapa pemansuhan tol lebuhraya telah ditukar konsepnya menjadi bayar caj kesesakan? Jangan membodek semata-mata kerana mahu membodek!

YB Sim dan YB Wong, hentikanlah usaha menegakkan benang yang basah. YB berdua boleh menjadi bebal demi politik dan kepentingan peribadi YB tetapi janganlah berterusan memperbodohkan rakyat!

Sebagai kesimpulan, mengikut kefahaman rakyat kalau tol dimansuhkan ertinya rakyat tidak perlu membayar sebarang wang (tol) semasa menggunakan lebuhraya pada setiap masa. Jikalau PH “memansuhkan” tol tetapi rakyat tetap perlu bayar caj kesesakan, itu BUKAN “pemansuhan” namanya! Faham tak?

DARI FACEBOOK WEE KA SIONG

Comments