Isu pertikaian mengenai kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar YB Senator Datuk Marzuki Yahya hangat diperkatakan.
Setelah semakan dibuat, University of Cambridge London mengesahkan bahawa tiada pengajian jarak jauh bagi kursus Bachelor of Business Administration seperti yang diisytiharkan oleh Marzuki yang juga merupakan Setiausaha Agung PPBM dalam profil dirinya.
Pada 5 Februari 2019, Marzuki memberi jaminan akan menunjukkan bukti sahih bahawa beliau merupakan graduan University of Cambridge UK. Kita setia menunggu!
Semalam, kita dikejutkan oleh satu pendedahan warganet bahawa “wikipedia page” Marzuki telah dipinda berkali-kali dan maklumat asal tentang kelulusan University of Cambridge telah pun dipadamkan.
Terbaru, Marzuki menjelaskan bahawa beliau memperolehi ijazah dari Cambridge International University, US melalui “distance learning”.
Janji asal Marzuki ialah mahu membuktikan ijazah sahih dari Cambridge University UK, kenapa buat U-turn pula dari UK pusing ke US? Barangkali ini bukan sekadar u-turn namanya, lebih tepat lagi “somersault” namanya!
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, seorang Ahli Parlimen daripada DAP yang sangat lantang mempersoalkan kelayakan akademik Ahli Parlimen BN ketika menjadi pembangkang adalah tidak lain tidak bukan, YB Dr Ong Kian Ming yang kini memegang jawatan Timbalan Menteri MITI.
Yang hairan kali ini ialah kenapa Dr Ong Kian Ming “diam-diam” sahaja dan langsung tidak berani bersuara? Dulu Ong sering mendedahkan serta mendakwa Menteri dan Ahli Parlimen BN yang dikatakan memiliki ijazah palsu malah beliau pasti akan menunjukkan asas pertikaiannya sekaligus meragui kredibiliti Menteri atau Ahli Parlimen tersebut.
Akan tetapi, pada kali ini ianya melibatkan seorang Timbalan Menteri PH yang memegang jawatan Setiausaha Agung PPBM. Kenapa Dr Ong yang juga seorang graduan University of Cambridge tidak tampil ke hadapan untuk membantu membersihkan nama baik Marzuki serta mempamerkan ijazah tulen dari University of Cambridge jika Marzuki betul-betul difitnah?
Sebaliknya jikalau Marzuki bersikap tidak jujur dan tidak dapat mengemukakan ijazah tulen dari University of Cambridge, maka sebagai alumini universiti tersebut, Dr Ong Kian Ming sepatutnya membongkarkan “scam” ini demi menegakkan keadilan seperti yang pernah dilakukan oleh beliau sebelum ini.
Saya juga pelik kenapa Marzuki serahkan perkara ini kepada polis untuk melakukan siasatan?
Apakah wujud elemen jenayah atau penipuan yang berlaku di sini? Umum mengetahui bahawa pelantikan Menteri atau Timbalan Menteri adalah kuasa mutlak Perdana Menteri. Seseorang yang tidak pernah memasuki universiti pun layak dilantik oleh PM Tun Dr Mahathir selagi beliau ingin berbuat demikian. Maka, soal Marzuki menipu PM barangkali tidak mempunyai asas yang kukuh.
Jika Marzuki tidak pernah mengikuti pengajian di University of Cambridge tersebut, ianya terpulang kepada pihak University of Cambridge samada ingin membuat laporan polis mengenai gejala penggunaan ijazah palsu di Malaysia. Kalau tidak, pelantikan Marzuki sebagai Timbalan Menteri Luar tidak boleh digunakan sebagai justifikasi kononnya Marzuki “menipu”.
Dari segi moral dan etika politik, ianya berbeza daripada segi tafsiran undang-undang. Marzuki sendiri yang menggelar dirinya sebagai graduan University of Cambridge dan ini dari segi moral politik, Marzuki yang sepatutnya rasa terpanggil untuk membuat pencerahan kerana telah terbongkar menggunakan kelayakan akademik “palsu” di dalam profilnya.
Hujah terbaru Marzuki tentang kelulusan akademiknya dari Cambridge International University US, Dr Ong Kian Ming perlu memberi tunjuk ajar kepada Marzuki samada universiti tersebut sekadar kilang mencetak ijazah atau sebaliknya. Kalau ijazah itu tidak diiktiraf dan terbukti bukan universiti tulen, maka Menteri Pendidikan Dr Maszlee yang dipertanggungjawabkan menjaga MQA, juga perlu bersuara dan tidak boleh berdiam diri demi memelihara keutuhan mutu akademik negara kita.
Apa tunggu lagi Dr Maszlee dan Dr Ong Kian Ming?
Comments
Post a Comment