TERUK DIBELASAH TAPI MCA KONSISTEN BALUN PH


Sejak Perhimpunan Agung Tahunan MCA kali ke 65 melabuhkan tirainya Ahad baru-baru ini, parti itu terus dibelasah pelbagai pihak terutamanya berhubung resolusi pembubaran Barisan Nasional (BN).


Tidak dinafikan, ada juga pihak yang tidak beremosi serta mengambil resolusi itu sebagai sesuatu yang positif demi kebangkitan semula selepas ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) Mei lalu.

Sebagai sebuah gabungan, setiap parti berhak untuk mengatakan pendirian masing-masing biarpun bergelar minoriti. Inilah semangat konsensus dan toleransi yang sudah terjalin sekian lama.

Hakikat menyedari bahawa resolusi itu pada dasarnya bukanlah bertujuan untuk mengisytihar perang antara MCA dengan parti-parti komponen BN. Sebaliknya, ia bertujuan mentransformasikan parti seterusnya menjayakan usaha kebangkitan semula sebagai parti pemerintah.

Landskap politik hari ini sudah berubah dengan begitu ketara. Tiada apa yang mustahil untuk direncanakan.

Tiada siapa sangka Mahathir Mohamad boleh berpelukan dengan Lim Kit Siang selepas berpuluh tahun menjadi musuh ketat. Kenyataan beliau yang mengatakan DAP rasis dan mengamalkan politik perkauman masih segar dalam ingatan masyarakat.

Tiada siapa sangka Mahathir Mohamad boleh menggunakan lambang parti milik Anwar Ibrahim walhal parti itu ditubuhkan untuk menjatuhkannya pada tahun 1998.

Inilah politik. Ia bukan saja menyentuh tentang kuasa semata-mata tetapi penuh dengan strategi.

Strategi ini pula seharusnya seiring dengan keadaan semasa. Jika masih ingat, mantan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin (sinonim dengan gelaran KJ) telah menjadi pemimpin pertama yang menongkah arus apabila mengkritik partinya sendiri. Alasan sama juga digunakan beberapa pihak untuk memperlekehkan suara Ahli Parlimen Rembau itu.

"Ah KJ diamlah. Undi golongan muda pun kau gagal raih." Demikian antara komen balas terhadap KJ.

Adakah KJ berterusan mengkritik partinya? Tidak. Di dalam Dewan Rakyat beliau antara Ahli Parlimen yang digeruni. Ada saja celahan dan soalan beliau membuatkan pemimpin kerajaan PH terkedu. Dalam media sosial tidak kurang hebatnya, serangan beliau membuatkan kerajaan PH tak tidur malam.

Begitu juga dengan MCA. Parti yang diterajui Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong selaku Presiden MCA baharu telah melakukan serangan bertubi-tubi terhadap musuhnya, DAP. Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerap diserang siang malam baik di Dewan Rakyat, media sosial, di hadapan media, forum, ceramah dan sebagainya.

Sebab itu ketika bercakap kepada pemberita baru-baru ini, Wee menekankan bahawa MCA bersama-sama dalam semangat solidariti pembangkang. Ini bermaksud, musuh utama hari ini ialah DAP, PKR, PPBM, PAN, HINDRAF dan parti-parti pro-kerajaan. Semak dan imbang. Apa saja yang tak kena dalam pentadbiran kerajaan, perlu diserang. Bukannya berdiam diri seolah-olah bersetuju dengan perkara-perkara yang salah.

Kalau masih lagi hendak bermain tuding jari, baik. Satu saja soalan. Berapa ramai pemimpin parti yang masih 'menyorok dalam gua' selepas kalah PRU14?

Tapi ini bukanlah masa untuk menyalahkan sesama sendiri. Cukuplah. Sebagai parti pembangkang, masing-masing perlu muhasabah diri. Apa gunanya bersikap angkuh dan sombong di saat tiada kuasa. Sebaliknya bersama-sama mencari formula terbaik untuk kembali berkuasa.

Tulisan ini mungkin pahit untuk ditelan. Tapi yang pahit itulah ubat untuk sembuh.

4 Disember 2018

Comments