Sejak menang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pada Mei lepas, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat berterusan menyebut nama Barisan Nasional tanpa gagal. Boleh kata, setiap hari nama Barisan Nasional meniti di bibir mereka. Sehari tak sebut, mungkin tak sempurna hidup mereka.
Tertarik dengan kenyataan Pengerusi DAP Perak yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming ketika diwawancara oleh lidah rasmi parti itu, Roket Kini, semalam, 17 Disember 2018.
Nga dengan lantang mengkritik pemimpin pembangkang yang dikatakan sengaja mempolitikkan janji-janji manifesto PH.
Kenapa Nga begitu marah kepada pembangkang sedangkan manifesto itu dibangkitkan oleh rakyat dan pengundi? Salahkah pengundi menuntut janji yang ditaburkan kepada mereka semasa kempen PRU14 lalu?
Benar, Nga menyebut bahawa ada janji yang dibuat telahpun dilaksanakan. Nga mungkin boleh berbangga, misalnya tentang janji menghapuskan cukai GST.
Namun Nga terlupa, bahawa rakyat dan pengundi merasakan diri tertipu. PH kata hendak hapuskan GST tetapi tidak mengatakannya secara jelas bahawa ia akan digantikan dengan sistem lapuk iaitu SST. Salahkah rakyat melahirkan perasaan marah apabila mereka terasa ditipu oleh pemimpin PH?
Begitu juga dengan janji untuk mengawal kuasa-kuasa tertentu daripada bidang-bidang tertentu. Seperti perlantikan Speaker Dewan Rakyat, pegawai-pegawai atasan dalam kementerian termasuk kuasa Yang di Pertua Negeri.
Rakyat mempersoalkan kenapa speaker hari ini ialah bekas pemimpin dalam parti kerajaan iaitu parti Amanah? Manifesto janji ke-16 dengan jelas mengatakan bahawa PH mahu mengembalikan kewibawaan institusi Parlimen di bawah teras melakukan reformasi institusi pentadbiran dan politik .
Begitu juga dengan pemimpin dalam PPBM yang diangkat menjadi Pengerusi PTPTN. Pemimpin PH dengan mudah mengatakan ia bukan lantikan politik, walhal ribuan penjawat awam hilang pekerjaan atas alasan lantikan politik ketika pentadbiran Barisan Nasional.
Kuasa Yang di-Pertua Negeri Sabah yang sepatutnya dihadkan untuk tempoh dua penggal kini dilanjutkan, turut dipersoalkan.
Salahkah rakyat bertanya? Bukankah PH memperjuangkan kebebasan bersuara?
Menyuarakan sesuatu adalah hak rakyat dan pihak pembangkang pula sekadar orang tengah antara rakyat dengan kerajaan.
Nga sepatutnya tidak terlalu beremosi berhubung perkara ini. Janganlah marah sekiranya rakyat hanya mahu menuntut janji PH. Sebagai pemerintah, Nga seharusnya bersikap matang dan profesional.
Paling penting, buat kerja untuk rakyat. Bukannya asyik menoleh ke belakang dan menuding jari kepada Barisan Nasional tanpa berkesudahan.
Comments
Post a Comment