Kisah sebuah kapal...


Parti yang mempunyai roh perjuangan di Malaysia ini hanyalah UMNO, MCA dan MIC menerusi gabungan yang dikenali Perikatan. Ini adalah sejarah dan tidak boleh dipadam.

Tanpa Perikatan, negara mungkin sukar mencapai kemerdekaan daripada tangan penjajah. Tokoh-tokoh terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun HS Lee, Tun VT Sambanthan dan ramai lagi yang bertungkus lumus mengadakan rundingan serta diplomasi menuntut kemerdekaan juga harus dikenang. Kerana mereka, kita beroleh kemerdekaan negara tanpa pertumpahan darah.

Sejarah tidak boleh dipadam. Pada awal penubuhan, Perikatan berjaya menjadi parti pemerintah apabila menjuarai sokongan solid 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan pada 27 Julai 1955. Namun, dunia politik bukanlah sesuatu yang kekal - Ada ketika cuaca baik, ada ketika tidak.

Perikatan yang menggunakan logo kapal layar itu juga pernah dibadai ombak besar sehingga menyebabkan kerosakan teruk. Namun mereka tidak menyerah kalah. Kapal dibina semula dengan memberikan imej serta nafas baharu yang dikenali Barisan Nasional. Peristiwa ini berlaku pada 1 Jun 1974 iaitu kira-kira 20 tahun mereka menaiki kapal Perikatan.

Barisan Nasional kemudiannya terus menjadi parti pemerintah yang hebat. Pemimpin silih berganti menaiki kapal sama yang dinaiktaraf.

Namun, politik tetap politik. Ia bukanlah sesuatu yang kekal dan tenang. Sekali lagi parti pemerintah ini dibadai ombak besar apabila tersungkur dalam gelanggang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 lalu. Persoalannya, adakah kita cepat menyerah kalah dengan berpeluk tubuh serta hanya melihat bahtera karam di depan mata?

Jika Perikatan berupaya diberi nafas baharu menjadi Barisan Nasional, kenapa kita tidak melakukannya sekali lagi? Tidakkah ini masa yang sesuai?

Melihat kepada sekeliling kita, rakyat kelihatan sudah mula tersedar daripada lamunan mereka. Tidak perlu kita salahkan mereka kerana terpedaya dengan janji lawan. Hakikatnya mereka sedang memerhati dan mula merindui kita walaupun peristiwa ombak besar baru berlaku 7 bulan lepas.

Comments