Pisahkan politik dan pendidikan ikut CARA Lim Guan Eng


Sebagai Presiden MCA, saya mengesahkan bahawa dua orang Pengarah Tabung Amanah Pendidikan TAA (TAAETF) Datuk Yap Kuok Fong, Datuk Chan Wah Kiang serta bakal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TAAETF yang juga merupakan mantan Presiden KU TAR Datuk Dr Tan Chik Heok merupakan ahli MCA.

Pada masa yang sama, saya juga mengesahkan bahawa empat tokoh lain iaitu Profesor Tan Sri Ir Dr Chuah Hean Teik, Datuk Khoo Chin Guan, Datuk Roger Tan dan Datin Paduka Tan Siok Choo BUKANLAH ahli MCA. Akan tetapi, permohonan untuk menamakan mereka sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah KU TAR masih dalam proses menunggu untuk kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Sejak tahun lepas, Lim Guan Eng berkata 50% daripada Lembaga Pemegang Amanah KU TAR mestilah ahli bebas. Definisi sebenar untuk "bebas" atau "tidak berkaitan" sangat jelas iaitu mereka bukanlah ahli keluarga atau majikan dan bukan pekerja atau tiada hubungan perniagaan.

Selepas tercetusnya kontroversi mengenai peruntukan KU TAR, takrifan "bebas" atau "tidak berkaitan" juga berubah di mana 50% ahli Lembaga Pemegang Amanah tidak boleh dilantik dari kalangan Ahli Yayasan tersebut.

Apabila saya menggunakan contoh Yayasan Kepimpinan Perdana yang ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir, dengan mempersoalkan mengapa ahli Lembaga Pemegang Amanah mereka juga menjadi ahli yayasannya, malangnya sehingga sekarang, Lim Guan Eng masih tidak berani menjawab soalan tersebut.

Bagi menghormati pihak berkuasa dan memenuhi permintaan kerajaan baharu, Lembaga Pemegang Amanah KU TAR telah mengemukakan empat nama ahli profesional tanpa latar belakang politik untuk menjadi anggota Lembaga Pemegang Amanah yang baru. Walau bagaimanapun, Kerajaan PH masih belum meluluskan permohonan itu walaupun sudah lebih daripada dua bulan.

Mulai Disember tahun ini, nampaknya Lim Guan Eng telah mula menukar rentak, dengan mendesak supaya KU TAR tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana parti politik; ini sangat pelik.

Sejak bila pula Perlembagaan Persekutuan Malaysia atau mana-mana undang-undang melarang orang yang mempunyai kecenderungan politik atau ahli parti politik tertentu untuk menjadi ahli pemegang amanah kepada organisasi yang bukan meraih keuntungan? Jawapannya adalah TIADA!

Lim Guan Eng juga berkata bahawa dia tidak kisah dengan Yap Kuak Fong, Chan Wah Kiang dan Tan Chik Heok yang telah menjadi ahli MCA jadi, mengapa pula MCA kisah sangat? Haha, saya tertanya-tanya apa sebenarnya prinsip Lim Guan Eng? Ahli parti MCA yang rapat dengan kamu, dikira OK. Mereka yang tidak rapat, maka TIDAK OK bagi kamu?

Nampaknya Lim Guan Eng benar-benar terganggu dengan empat tokoh yang bukan ahli MCA, yang disyorkan untuk menjadi anggota Lembaga Pemegang Amanah KU TAR yang baru, sampaikan hari ini kerajaan Pakatan Harapan masih belum meluluskan permohonan tersebut. Sebaliknya, Lim Guan Eng nampaknya tiada halangan pula apabila “sahabat karib” beliau Yap Kuak Fong, Chan Wah Kiang yang pernah menyumbang kepada Tabung Harapan telah menubuhkan TAAETF dengan meletakkan Dr Tan Chik Heok sebagai bakal CEOnya, sedangkan kesemua mereka adalah ahli MCA. Di mana perginya prinsip “pendidikan dan politik mesti dipisahkan” yang diwar-warkan oleh Lim Guan Eng selama ini? Tak konsisten!

Ikut pada logik Lim Guan Eng, jelas bahawa "segalanya OK selagi ia menyenangkan dirinya sendiri”. Lantaklah, ikut cakap Lim Guan Eng, asalkan dia suka, semua boleh!”

Sumber

Comments